Co-Enzyme Q10

Coenzyme diertikan sebagai bahan yang penting dalam fungsi enzyme yang besar dan kompleks. Ketiadaan coenzyme akan membuatkan enzyme tidak boleh menjalankan tugasnya dengan betul. Coenzyme bukanlah sejenis vitamin, mineral atau hormon.

Coenzyme Q10 adalah sejenis coenzyme yang juga dikenali sebagai ubiquinone, diambil dari perkataan bahasa Inggeris ubiquitous yang bermakna 'didapati di mana-mana'. Ia didapati secara semulajadi di dalam sel-sel badan kita. Coenzyme Q10 adalah bahan yang larut di dalam lemak dan bentuknya seperti vitamin K. Ada orang yang memanggilnya 'Vitamin Q', walaupun ia bukanlah sejenis vitamin.

Pembinaan Coenzyme Q10 di dalam badan kita memerlukan beberapa jenis mineral dan vitamin seperti vitamin B2, B3, B6, asid folik, vitamin B12, vitamin C dan asid pantothenic. Satu proses biokimia (sekurang-kurangnya 17 proses biokimia) di dalam badan berlaku dan Coenzyme Q10 dihasilkan.

Apakah fungsi Coenzyme Q10 di dalam badan kita?

Coenzyme Q10 digunakan untuk membekalkan atau membuang oksigen dari molekul yang aktif. Ia penting dalam proses pembuatan ATP, iaitu sumber tenaga badan, dari sumber pemakanan. Proses pembuatan tenaga ini berlaku di dalam mitochondria, satu bahagian di dalam sel-sel badan. Oleh itu, Coenzyme Q10 sangat penting dalam kesihatan sel, tisu dan organ badan kita.

Sejarah Coenzyme Q10

Coenzyme Q10 dijumpai dan diasingkan dari mitochondria hati lembu oleh Dr. Frederick Crane dari University of Wisconsin, USA pada tahun 1957. Pada tahun tersebut juga, Professor Morton dari England juga menjumpai benda yang sama daripada hati tikus dan memberikannya nama ubiquinone.

Pada tahun 1958, Professor Karl Folkers dari Merck, Inc., telah mengenal pasti struktur kimia bahan ini iaitu 2,3 dimethoxy-5 methyl-6 decaprenyl benzoquinone dan menjadi orang pertama yang mengeluarkannya secara sintetik.

Pada tahun 1960, Saintis Jepun, Professor Yamamura adalah orang pertama yang menggunakan coenzyme Q7 (kumpulan yang sama dengan Q10) untuk merawat penyakit congestive heart failure (CHF).

Pada pertengah an tahun 1970, orang Jepun telah memulakan pengeluaran bahan ini dalam kuanti yang besar untuk tujuan kajian klinikal.

Saintis Peter Mitchell telah menerima Hadiah Nobel kerana pembabitannya dalam kajian yang berkaitan dengan bahan ini.

Kegunaannya

1 - Sebagai anti-oksidant yang sangat baik. Persediaan-persediaan terbaru termasuklah krim muka yang boleh membantu memperlahankan proses penuaan (melalui sifat anti-oksidant bahan ini).

2 - Membantu dalam mengawal dan merawat sakit jantung.

  • Coenzyme Q10 didapati sangat banyak di dalam sel-sel jantung. Ini kerana tugasan berat yang dipikul oleh jantung memerlukan tenaga yang banyak. Jantung perlu mengepam 100,000 kali sehari tanpa henti. Banyak kajian telah dijalankan menggunakan bahan ini dalam pesakit yang menghidapi penyakit jantung, terutamanya congestive heart failure (CHF) dan didapati Coenzyme Q10 sangat berguna untuk pesakit-pesakit ini. Kajian menunjukkan CHF bergantung rapat dengan kadar Coenzyme Q10 dalam darah dan tisu yang rendah. Dalam kata lain, sekiranya kandungan Coenzyme Q10 rendah, kemungkinan untuk mendapat CHF adalah lebih tinggi.

3 - Banyak kajian telah dijalankan dan secara kasarnya Coenzyme didapati MUNGKIN boleh membantu dalam:

  • sebagai anti-oksidant, Coenzyme Q10 menghalang proses yang menyebabkan atherosclerosis (saluran darah tersumbat kerana kolesterol)

  • membantu dalam masalah berkaitan allergik (alahan), asma, masalah pernafasan

  • membantu dalam masalah berkaitan otak seperti Alzheimer's disease

  • cardiomyopathy

  • masalah dystolic dysfunction

  • tekanan darah tinggi

  • penyakit berkaitan dengan gusi (periodontal disease) seperti gingivitis

  • menguatkan sistem imuniti (melawan penyakit)

  • amyotrophic lateral sclerosis

  • AIDS

  • angina

  • kanser

  • psoriasis

  • mengawal kencing manis

  • kemandulan lelaki (menambah sprem count)

  • muscular dystrophy

  • masalah kegemukan

  • menambah tenaga

  • memudahkan pembuangan kulat Candida albicans (sering menyebabkan masalah keputihan di kalangan wanita)

Sumber-sumber

Sumber utama Coenzyme Q10 adalah dari pembinaannya di dalam badan kita sendiri. Sumber luaran utama Coenzyme Q10 pula adalah dari daging, ikan dan minyak sayuran. Bahan ini juga boleh didapati dari kebanyakan makanan seperti sayuran segar, buah-buahan dan kekacang, tetapi kandungannya lebih sedikit. Bagaimanapun ia rosak dengan mudah melalui proses pemasakan. Adalah dijangka bahawa secara purata pengambilan Coenzyme Q10 oleh orang biasa dari pemakanan menyumbang sebanyak 5mg sehari sahaja.

Coenzyme Q10 didapati di seluruh selaput sel di dalam badan kita, terutamanya di selaput-selaput mitochondria. Ia paling banyak di bahagian jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, limpa, pankreas dan gland adrenal. Jumlah keseluruhan bahan ini di dalam badan kita ialah antara 500-1500mg. Kandungan ini menurun selari dengan usia yang meningkat. Oleh itu pengambilan yang lebih mungkin diperlukan.

Pengurangan kandungan Coenzyme Q10

Kandungan Coenzyme Q10 berkurangan bila usia mencapai 30 tahun, di mana selepas itu ia akan terus menurun bila usia meningkat. Bila kandungan Coenzyme Q10 berkurangan kesihatan badan kita secara menyeluruh juga menurun. Dijangka, bila kandungannya menurun sehingga 25%, pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung, angina, sistem imunisasi menurun, kurang bertenaga dsb mula dirasai. (Sila rujuk kembali kegunaan Coenzyme Q10).

Ada kajian yang mendapati kandungan bahan ini di dalam badan orang yang mengamalkan vegetarian adalah lebih tinggi.

Pengambilan / Dos yang disyorkan

Pengambilan makanan tambahan Coenzyme Q10 yang disyorkan ialah antara 30mg hingga 300mg setiap hari. Kebanyakan kajian yang berkaitan dengan sakit jantung menggunakan dos sehingga 150mg sehari. Pesakit kanser mungkin memerlukan sehingga 400mg sehari.

Oleh kerana ia larut di dalam lemak, ia lebih baik diambil bersama-sama dengan makanan yang berminyak. Ia harus diambil selepas makan.

Dos yang tinggi tidak menyebabkan kesan-kesan sampingan. Bagaimanapun, data mengenai pengambilan semasa mengandung dan menyusukan bayi masih tidak lengkap. Oleh itu, kumpulan ini tidak disyorkan mengambilnya.

Interaksi dengan ubatan lain

Pengambil ubat-ubatan ini disyorkan mengambil Coenzyme Q10:

  • Ubat-ubatan yang memberi kesan kepada jantung seperti doxorubicin (sejenis ubat untuk kanser), tricyclic antidepressant (ubat untuk tekanan mental) dsb. Pengambilan Coenzyme Q10 bersama-sama ubat ini didapati boleh mengurangkan kesan-kesan sampingan yang disebabkan oleh ubat-ubatan ini.

  • Pengambilan Coenzyme Q10 juga didapati baik untuk mereka yang mengambil ubat tekanan darah dari jenis beta blockers (seperti propranolol (Inderal), atenolol (Tenormin), betoxolol (Kerlone), labetalol (Trandate), metoprolol (Betaloc), oxprenolol (Trasicor), pindolol (Viskaldix) dan sebagainya).

  • Ubat-ubatan yang digunakan untuk mengurangkan kolesterol seperti lovastatin (Mevacor, Lestric), pravastatin (Pravachol), gemfibrozil (Lopid) dan simvastatin (Zocor) menghalang fungsi enzim bernama HMG-CoA reductase. Bagaimanapun enzim ini juga penting dalam pembinaan Coenzyme Q10. Oleh itu, orang yang mengambil ubat-ubatan mengurangkan kolesterol ini mendapati kandungan Coenzyme Q10 di dalam badan mereka juga berkurangan. Pengambilan Coenzyme Q10 mungkin diperlukan.

Pengambil ubat ini tidak disyorkan mengambil Coenzyme Q10:

  • Pesakit yang mengambil warfarin (Coumadin) tidak dinasihatkan mengambil Coenzyme Q10 bersama-sama.

Masa hadapan

Coenzyme Q10 adalah bahan baru. Masih banyak kajian yang sedang dijalankan untuk mengetahui dengan lebih lanjut keberkesanannya. Anda dinasihatkan membuat penilaian anda sendiri di samping meminta pandangan doktor dan pakar-pakar sebelum mengambilnya. Kajian setakat ini menunjukkan pengambilannya dalam dos yang tinggi sehingga 300mg tidak menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini, malah pengambilnya mendapat manfaat daripada bahan ini.

Perlu diingat, bahawa pesakit yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk mengawal penyakit mereka seperti penyakit CHF mesti meneruskan pengambilan ubat-ubatan tersebut, dan tidak bergantung sepenuhnya pada Coenzyme Q10.

Kencing Manis

Pengenalan

  • Glukosa atau gula

    • Makanan yang kita ambil, terutamanya karbohidrat seperti nasi dan sebagainya, akan dicerna di dalam sistem badan kita dan proses ini akan menghasilkan glukosa. Glukosa boleh diserap oleh badan kerana saisnya yang kecil berbanding sais karbohidrat yang besar. Glukosa adalah sumber utama tenaga kita.

  • Insulin

    • Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh sel-sel beta di pankreas. Ia berfungsi mengawal kandungan gula (glukosa) di dalam badan kita. Sekiranya kandungan gula tinggi, badan akan menghasilkan insulin yang lebih banyak. Insulin kemudiannya akan membantu menurunkan kandungan gula di dalam darah. Insulin juga penting dalam metabolisma dan penyimpanan protin dan lemak, selain daripada karbohidrat.

Kencing manis

Berbeza dengan orang yang sihat, seorang pesakit kencing manis akan mengalami dua jenis keadaan iaitu:

  • kekurangan insulin.

  • insulin resistance.

Bagaimana ia bermula?

Diabetes mungkin atau mungkin tidak disebabkan oleh keturunan. Bagaimanapun ada beberapa keadaan di mana penyakit ini lebih mudah menyerang, seperti berat badan berlebihan, cara hidup yang tidak sihat, mengandung dan sebagainya.

Jenis-jenis kencing manis

Ada dua jenis kencing manis iaitu:

  • Type I

    • badan tidak mengeluarkan insulin yang mencukupi untuk mengawal kandungan gula yang meningkat. Kencing manis ini juga dikenali sebagai Juvenile-onset diabetes kerana ia selalunya bermula pada usia muda (juvenile). Ia juga dikenali sebagai Insulin-Dependant Diabetes Mellitus (IDDM). Pesakit jenis ini selalunya perlu mengambil suntikan insulin sepanjang hayatnya.

  • Type II

    • kencing manis jenis ini juga dikenali sebagai mature-onset diabetes atau Non-Insulin Dependant Diabetes Mellitus (NIDDM). Jenis ini adalah jenis yang lebih biasa berlaku. Ia disebabkan oleh kekurangan insulin dan juga insulin resistance (Sila lihat di atas). Pesakit jenis ini perlu mengambil ubat atau juga insulin. Di samping itu, mereka juga harus lebih berjaga-jaga dengan pemakanan mereka.

Perbezaan secara ringkas kedua-dua jenis ini adalah seperti di dalam carta di bawah:

Type I (IDDM) Type II (NIDDM)
Bermula pada usia muda, sehingga lebih kurang 16 tahun Bermula lewat, selalunya melebihi 35 tahun
Bermula dengan cepat bila pengeluaran insulin dari pankreas berhenti Bermula secara perlahan-lahan (kronik)
Bukan secara keturunan. Mungkin disebabkan jangkitan Penyakit keturunan
Pesakit tidak semestinya gemuk Selalunya pesakit adalah orang yang gemuk
Memerlukan suntikan insulin di samping penjagaan diet Memerlukan ubat jenis makan dan juga penjagaan diet. Sekiranya ubat tidak lagi berkesan, insulin diperlukan

Tanda-tanda

Ada pesakit kencing manis yang tidak merasa tanda-tanda. Antara tanda-tanda yang kerap berlaku ialah:

  • selalu kencing, terutamanya waktu malam.

  • dahaga yang keterlaluan.

  • lapar, oleh itu selera makan naik.

  • penurunan berat badan walaupun ada peningkatan selera makan.

  • rasa lemah badan.

  • pening dan muntah.

  • luka lambat sembuh.

  • mudak terkena jangkitan kulit.

  • kebas kaki dan tangan.

  • pemandangan menjadi kabur.

Bolehkah ia disembuhkan?

Tidak. Hanya kawalan pada pemakanan, senaman yang kerap, pengambilan ubat secara teratur akan membolehkan komplikasi yang sering berlaku seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung dan buta dapat dielakkan atau dilambatkan.

Mengandung

Selain daripada jenis-jenis di atas, orang yang mengandung juga boleh mengalami kencing manis (gestational diabetic). Selalunya ia bersifat sementara sahaja dan akan hilang bila anak dilahirkan. Ibu-ibu yang mengalami kencing manis jenis ini hendaklah menjaga pemakanan mereka. Ada juga yang memerlukan pengambilan insulin.

Komplikasi-komplikasi akibat sakit kencing manis

Sekiranya tidak ditangani dengan betul, kencing manis boleh menyebabkan masalah-masalah yang lebih teruk lagi. Masalah-masalah ini selalunya berlaku secara perlahan-lahan, oleh itu pemeriksaan berjadual adalah sangat-sangat digalakkan.

  • hyperglycaemia. Sila lihat di bawah.

  • penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan stroke (angin ahmar). Ini merupakan punca kematian akibat kencing manis yang paling kerap berlaku. Pesakit kencing mannis mempunyai risiko 2 hingga 4 kali ganda diserang penyakit jantung dan 5 kali ganda diserang stroke.

  • kerosakan buah pinggang. Hapir 50% daripada semua kes baru penyakit buah pinggang berlaku di kalangan pesakit kencing manis.

  • masalah mata seperti menjadi buta, cataracts dsb. Kencing manis adalah punca utama bagi mereka yang berusia 25 hingga 74 tahun menjadi buta.

  • luka menjadi lambat sembuh dan boleh menyebabkan gangrene (tisu mati) di bahagian (selalunya) jari kaki dan kaki. Sekiranya ini berlaku ia perlu dipotong.

  • jangkitan kuman senang berlaku. Bagi wanita selalu berlaku jangkitan pada alat sulit.

  • kerosakan pada saraf seperti merasa kebas, dsb. Lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis yang berpenyakit ini melebihi 25 tahun akan mengalami kerosakan saraf.

Apa yang harus dilakukan sekiranya pesakit didapati menghidap penyakit ini?

  • Pengambilan ubat-ubatan. Sila rujuk kepada doktor sebelum mengambil apa-apa ubat:

Ubat-ubatan konvensional : Ubat yang ada dipasaran adalah seperti Amaryl, Avandia, Daonil (glibenclamide), metformin (Glucophage), acarbose, Diamicron dsb. Jenama yang lebih baru seperti Diamicron, Amaryl dan Avandia adalah lebih berkesan. Kami tidak akan menghuraikan secara detail ubat-ubat ini. Setiap pesakit perlu membuat pemeriksaan sebelum mula mengambil ubat-ubatan tersebut. Sila dapatkan maklumat lanjut dari doktor atau ahli farmasi yang berhampiran pesakit berkenaan ubat-ubat ini.

Insulin. Insulin selalunya digunakan oleh pesakit Type I. Pesakit Type II juga ada yang menggunakan insulin sekiranya ubat-ubatan yang diambil tidak lagi berkesan. Insulin hanya ada dalam bentuk suntikan kerana ia dicerna oleh sistem perhadaman kira sekiranya di ambil melalui mulut. Ada 3 jenis insulin utama iaitu short-acting, medium acting dan long acting. Setiap individu mungkin memerlukan lebih daripada satu jenis setiap hari.

  • Makanan tambahan dan herba

Antara makanan tambahan yang boleh dicuba ialah seperti yang dinyatakan di bawah. Bagaimanapun adalah penting untuk pesakit sentiasa mengawasi dan memeriksa kandungan gula di dalam darah mereka. Ubat biasa pula tidak boleh diberhentikan secara mendadak semasa mengambil herba-herba ini.

Persediaan herba seperti peria katak dsb. Ramai pelanggan kami yang menggunakannya dan mendapati herba-herba ini membantu mengawal kadar gula dalam darah mereka, sehinggakan ada di antara mereka yang tidak lagi perlu mengambil ubat biasa.

Gymnema. Herba ini sangat bagus sebagai 'penapis' gula. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan ia seperti Chitosan yang menapis lemak. Ambil herba ini (ada dalam bentuk teh) sebelum pengambilan makanan bergula dan gula tidak diserap dalam badan. Boleh didapati dikebanyakan farmasi.

Chromium. Chromium memainkan peranan penting dalam glucose tolerance factor (GTF). Pesakit juga boleh mengambil brewers yeast yang banyak mengandungi chromium.

Pesakit diabetik menghadapi risiko kerosakan saraf seperti kerosakan saraf mata. Ambil vitamin yang baik untuk saraf terutamanya B1, B6 dan B12.

  • Pemakanan harian yang lain

    Pengawalan pemakanan adalah perkara penting dalam pengendalian kencing manis. Pesakit perlulah:

    • Makan makanan yang seimbang. Spirulina adalah produk yang baik untuk tujuan ini.

    • Lebihkan pengambilan makanan yang tinggi dengan serat.

    • Pengambilan makanan secara tetap, contohnya tiga kali sehari.

    • Cuba mengurangkan berat badan untuk mencapai berat ideal. (Sila rujuk kepada rencana kami sebelum ini untuk menentukan berat ideal, atau lawat http://www.anispharmacy.com/berat.htm untuk maklumat lanjut).

    • Karbohidrat ringkas hendaklah dijauhkan. Ini termasuklah gula (putih dan merah), glukosa (seperti Glucolin, dsb) dan madu. Antara contoh-contoh lain yang perlu pesakit jauhi ialah coklet, ais krim, minuman yang bergula seperti Milo, teh tarik, Coca Cola, Pepsi, dsb., air tebu, cendol, ais kacang, dan sebagainya.

    • Karbohidrat yang kompleks boleh diambil secara sederhana. Makanan jenis ini lebih lambat dicerna oleh badan, oleh itu ia tidak menyebabkan kenaikan kadar gula yang mendadak di dalam darah. Ini termasuklah nasi, kentang, jagung, kekacang, capati, thosai, oat, mi, roti wholemeal dan sebagainya.

    • Karbohidrat asli iaitu buah-buahan dan susu perlu juga diambil secara sederhana. Semua buah mengandungi gula, oleh itu pengambilannya hendaklah juga dihadkan. Begitu juga, jus buah-buahan walaupun ia tidak ditambah dengan gula, haruslah tidak diambil berlebihan. Susu pula mengandungi gula asli di dalamnya. Pengambilannya hendaklah tidak melebihi lebih kurang 240ml sehari.

    • Amalkan pengambilan pengganti gula seperti jenama Equal, Lo-cal, Nutra-Sweet, Pal-Sweet dsb. Ia mengandungi kalori yang lebih rendah daripada gula biasa. Kini terdapat jem buah-buahan yang tidak mengandungi gula. Begitu juga, kini terdapat susu khusus untuk orang yang menghadapi masalah kencing manis.

    • Ambil lebih vitamin C dan Zink.

    • Pengambilan vitamin E boleh juga mengurangkan kesan-kesan komplikasi kencing manis.

    • Pengambilan gamat (tanpa gula) untuk mempercepatkan penyembuhan luka.

    • Makanan yang boleh diambil tanpa had termasuklah:

      • Cecair - air kosong, kopi atau teh tanpa gula, dsb.

      • Tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran.

      • Herba seperti cili, lada, cuka, dsb.

  • Senaman

Senaman yang kerap dan berterusan selama lebih kurang 30 minit tiga atau empat kali seminggu boleh membantu pesakit kencing manis. Lagipun, pesakit yang mempunyai berat badan yang tinggi boleh menurunkan berat badan mereka dengan senaman yang teratur. Bagaimanpun, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat dari doktor pesakit terlebih dahulu, terutamanya kepada pesakit Type I, yang mungkin perlu menukarkan dos pengambilan insulin harian mereka.

  • Penjagaan diri

    • Mata. Pesakit kencing manis perlulah menjalani pemeriksaan mata mereka pada masa-masa yang telah ditetapkan. Pesakit kencing manis kerap merasai kabur penglihatan. Ini adalah tanda bahawa kawalan gula di dalam darah mereka tidak baik. Sekiranya ia berterusan, ada kemungkinan berlakunya kerosakan kepada lensa mata dan ini akan menyebabkan diabetic cataract. Pengambilan vitamin B1+B6+B12 secara berterusan perlu diamalkan.

    • Kulit. Penjagaan kulit hendaklah dititikberatkan. Luka, walaupun sedikit perlukan rawatan segera. Sekiranya tidak, dikhuatiri ia akan melarat dan menyebabkan gangrene (kulit menjadi buruk dan hitam) terutamanya di bahagian kaki. Penjagaan kaki hendaklah juga dititikberatkan. Pesakit yang lebih tua selalunya mempunyai pengaliran darah ke bahagian kaki yang lebih buruk berbanding orang muda. Jangkitan kuman lebih mudah berlaku.

    • Gigi. Seperti kulit juga, sedikit sahaja luka di dalam bahagian mulut boleh menyebabkan jangkitan kuman, dan ini boleh membahayakan. Pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan gigi setiap enam bulan sekali.

  • Pemerhatian kandungan gula di dalam darah

    Pesakit kencing manis perlu sentiasa membuat pemeriksaan kandungan gula di dalam darah mereka. Ini dapat dilakukan di klinik, farmasi (RM 5.00 sekali check) ataupun dirumah. Bagaimanapun anda perlu membeli alatnya terlebih dahulu. Sila rujuk kepada carta kandungan gula yang ideal seperti di bawah ini.

Selain daripada memeriksa kandungan gula di dalam darah, anda juga boleh membuat pemeriksaan kandungan gula di dalam air kencing. Bagaimanapun ia tidaklah setepat ujian darah.

Masa ujian dibuat Tahap ideal (darah) Tahap baik (darah)
Berpuasa - contohnya pagi sebelum sarapan 3.5 – 5.5mmol/l 4.4 – 6.7mmol/l
2 – 4 jam selepas makan 5.5 – 6.7mmol/l 6.7 – 7.8mmol/l

Untuk menukar mmol/l ke mg/dl gunakan formula di bawah:

18.01 x mmol = mg/dl

Pesakit kencing manis yang tidak mengambil ubat mempunyai bacaan gula melebihi 11mmol/l semasa waktu berpuasa.

Perkara-perkara berkaitan dengan kencing manis

Hypoglycaemia (Hypo = rendah, glyc = glukosa atau gula, aemia = darah)

Keadaan ini berlaku bila terlalu banyak insulin di dalam badan menyebabkan kandungan gula di dalam darah menurun ke paras yang lebih bawah daripada normal. Keadaan ini juga dikenali sebagai "Insulin Shock".

Ia boleh berlaku disebabkan pemberian ubatan yang melebihi dos yang diperlukan, umpamanya pada waktu awal-awal pemberian ubat kerana doktor pesakit masih belum boleh menentukan secara pasti dos yang perlu diberi. Ia juga boleh berlaku bila:

  • berlakunya pertambahan dalam aktivit yang berbentuk fizikal, yang tidak disertakan dengan penambahan makanan atau pengurangan insulin.

  • pesakit makan sedikit daripada biasa, dan tidak disertakan dengan pengurangan insulin yang diambil atau pengurangan aktiviti fizikal.

  • terlebih ambil insulin.

  • lambat atau tidak makan.

  • mengambil alkohol berlebihan.

Sekiranya ini berlaku, pesakit boleh pengsan. Ia perlukan rawatan serta merta. Selalunya pesakit kencing manis boleh mengetahui bila kandungan gula di dalam badan mereka rendah. Antara tanda-tandanya ialah:

  • berpeluh (sejuk).

  • tangan menggeletar (trembling).

  • rasa lapar.

  • penat.

  • pening.

  • degupan jantung bertambah.

  • rasa keliru (confused) dan 'moody'.

Sekiranya ini berlaku, pesakit perlu menambah kandungan gula di dalam darah pesakit secepat mungkin. Ambil makanan atau minuman yang mengandungi glukosa atau gula secepat mungkin. Selepas itu, pesakit perlu menambah pengambilan karbohidrat seperti susu, biskut, dsb. Pesakit kencing manis perlu sentiasa beringat dan membawa bekalan gula glukosa dan makanan supaya keadaan ini dapat diatasi segera.


Hyperglycaemia (Hyper = tinggi, glyc = glukosa atau gula, aemia = darah)

Kandungan gula di dalam darah menjadi tinggi daripada normal kerana beberapa sebab, antaranya:

  • tidak mengambil ubat atau insulin seperti sepatutnya.

  • makan berlebihan.

  • kurang bersenam.

  • tidak merasa sihat (seperti demam, perubahan hormon, dsb).

Bila ini berlaku, pesakit akan merasa:

  • dahaga yang sangat kuat.

  • lapar yang datang tiba-tiba.

  • selalu kencing, lebih-lebih lagi waktu malam.

  • lemah badan.

  • turun berat badan.

  • penglihatan kabur.

  • jangkitan kulit mudah berlaku.

  • kulit kering.

  • rasa kebas-kebas atau sakit pada kaki atau tangan.

Diabetic ketoacidosis

Sekiranya kawalan gula badan pesakit tidak baik, sel-sel badan tidak boleh lagi menggunakan glukosa dari dalam darah. Bila ini berlaku, sel-sel lemak (fat cells) akan dipecahkan oleh badan pesakit sebagai sumber tenaga pesakit.

Dalam proses pemecahan lemak ini, ketone akan dikeluarkan terutamanya di dalam air kencing. Bila ini berterusan, pesakit akan merasa:

  • kencing yang sangat kerap.

  • dahaga yang sangat kuat.

  • pening kepala, muntah dan sakit perut.

  • pernafasan yang dalam. Nafas pesakit berbau seperti buah-buahan (bau ketone).

  • kekeliruan berlaku (confusion).

Sekiranya tidak dirawat, ketone akan berkumpul dan menjadi tinggi kandungannya. Darah akan menjadi asid dan ini merosakkan tisu-tisu badan. Kematian boleh berlaku. Silalah dapatkan rawatan segera sekiranya pesakit merasa 'tidak sedap badan'.

Insulin Resistance (IR)

IR bermakna respons biology yang menurun terhadap insulin yang ada di dalam darah.

Akibatnya :

  • sel-sel otot dan sel-sel lemak tidak berupaya menggunakan glukosa.

  • hati (liver) pula akan menambah pengeluaran glukosa yang mengakibatkan kencing manis.

Bila berlakunya IR, badan akan mula menambah pengeluaran insulin dari pankreas. Akhirnya pankreas tidak lagi berupaya mengeluarkan insulin yang cukup. Dengan itu glukosa tidak akan dapat di”metabolisma”kan dengan betul. Kesudahannya kandungan gula (glukosa) dalam darah akan sentiasa tinggi.

Insulin juga mengawal kandungan Free Fatty Acid (FFA) dalam darah. Bila kandungan insulin tidak menentu, kandungan FFA juga bertukar. Selalunya pesakit kencing manis mempunyai kandungan FFA yang tinggi. Kandungan FFA yang tinggi pula mengakibatkan hati (liver) mengeluarkan lebih banyak glukosa.

Dua faktor utama penyebab IR, yang menyebabkan kencing manis.

  • faktor genetik.

  • faktor persekitaran :

    • bermula sejak lahir, seperti berat badan semasa lahir yang rendah, dan pemakanan yang tidak baik

    • bermula lewat, seperti cara hidup yang tidak aktif, pemakanan yang buruk (kalori tinggi, banyak lemak, dsb), dan juga proses biasa penuaan.

Puasa

Pesakit kencing manis yang tidak teruk boleh berpuasa seperti biasa. Sedikit penyesuaian mungkin diperlukan. Sila rujuk dengan doktor anda sekiranya anda rasa anda perlu menukar cara pemakanan anda. Di bawah ini adalah contoh kehidupan seharian pesakit kencing manis semasa bulan Ramadan.

Masa Perkara
Sahur 1 - Makan ubat
2 - Makan sahur
Buka puasa 1 - Buka puasa dengan mengambil makanan atau minuman
2 - Makan ubat
3 - Solat maghrib
4 - Makanan berat

Sembelit

Sembelit berlaku bila:
  • anda susah membuang air besar, kerana sebab-sebab tertentu seperti najis terlalu keras

  • anda jarang membuang air besar

Ramai orang keliru bila dikatakan "jarang membuang air besar". Ini kerana setiap individu adalah berlainan. Ada orang yang membuang air besar sekali sehari, ada yang beberapa kali sahaja seminggu. Ramai yang beranggapan mereka mengalami sembelit, tetapi sebenarnya mereka tidak sembelit. Statistik di Amerika Syarikat mendapati kes sembelit ini berlaku dan berlarutan kepada 10% hingga 15% populasi.

Bagaimanapun, sembelit bolehlah dikatakan terjadi sekiranya anda pergi ke tandas kurang daripada tiga kali seminggu (Berdasarkan kriteria Rome II - sila lihat http://www.romecriteria.org/index.html).

Sembelit bukanlah satu penyakit, tetapi ia hanyalah satu tanda penyakit (symptom). Orang yang sembelit juga selalunya merasa sakit perut dan mengalami angin (sendawa dan kentut). Bagaimanapun ia perlulah dirawat supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk atau berlakunya masalah lain seperti kanser usus, buasir, dsb.

Perempuan, budak kecil dan orang tua (melebihi 65 tahun) lebih kerap mengalami sembelit.

Sebab-sebab berlakunya sembelit

  • kurang fibre tetapi lebih makanan berlemak dan gula

  • kurang minum air

  • selalu menahan diri daripada membuang air besar

  • kurang bersenam atau pergerakan, contohnya selepas kemalangan

  • sebab-sebab emosional seperti tekanan perasaan

  • berkaitan dengan hormon seperti mengandung dan datang haid. Bagi yang mengandung - hormon progesterone yang tinggi meregangkan otot-otot usus menyebabkan berlakunya sembelit. Di samping itu, janin yang menekan bahagian usus juga menyebabkan sembelit

  • penyakit-penyakit seperti lupus, sclerosis, parkinson dan penyakit endocrine (kencing manis, hypothyroidism)

  • ubat-ubatan seperti ubat narcotik seperti ubat batuk yang mengandungi codeine, diuretik, anti-histamine, anti-depressant, ubat gastrik yang mengandungi aluminium atau kalsium

  • makanan tambahan seperti zat besi (iron supplement)

  • irritable bowel syndrome / spastic colon (selalunya orang yang menghadapi masalah ini juga mengalami cirit-birit)

  • penggunaan laxative (ubat sembelit) yang berlebihan boleh menyebabkan berlakunya sembelit. Ubat ini selalu digunakan oleh mereka yang ingin mengurangkan berat badan mereka. Contoh ubat ialah senna (Senokot) dan bisacodyl (Dulcolax)

  • penyakit-penyakit usus seperti diverticulitis. Selalunya ia berlaku bersama-sama dengan demam dan sakit perut (bahagian bawah)

  • untuk bayi - terdapat susu formula yang agak kuat. Ini menyebabkan berlakunya sembelit

  • untuk orang tua - otot-otot perut dan usus menjadi semakin lemah bila usia meningkat. Di samping itu, orang tua juga selalunya kurang melakukan aktiviti seperti senaman

Apa yang boleh anda lakukan

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah mengenalpasti sebab-sebab berlakunya sembelit. Antara perkara-perkara yang boleh anda lakukan ialah:

  • minum air yang banyak, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ambil air lemon suam sebelum makan

  • makan banyak buah-buahan (prune, epal, nanas, pisang dsb), sayur-sayuran dan essential fatty acids seperti kekacang dan ikan

  • kurangkan kopi, teh, susu, makanan dari sumber susu dan makanan berlemak dari haiwan (saturated fats).

  • tukar gaya hidup dengan melebihkan senaman. Senaman atau pergerakan badan akan menyebabkan pergerakan otot-otot usus anda

  • Ambil ubat:

    • Stimulant laxative seperti senna dan bisacodyl (Dulcolax). Pengambilannya tidak boleh diamalkan (sila lihat di atas). Ada ubat ini jenis yang dimakan dan ada juga yang dimasukkan ke dalam dubur (ubat jenis ini dipanggil suppository)

    • Bulk fibre / osmotic laxative. Fiber atau serat akan menarik air ke dalam usus dan melembutkan najis anda. Penggunaan yang banyak adalah tidak digalakkan sekiranya anda mengalami sakit jantung atau sakit buah pinggang. Pengambilan ubatan yang mengandungi macrogol seperti Forlax adalah lebih digalakkan. Macrogol dan lactulose (Duphalac) merupakan osmotic laxative pilihan yang disarankan oleh American College of Gastroenterology (ACG).

    • Pelincir glycerine seperti enema yang dimasukkan ke dalam dubur. Ia memudahkan pembuangan air besar

    • Penggunaan mineral oil telah banyak berkurangan sekarang ini kerana kesan-kesan sampingannya

  • ambil vitamin C sekurang-kurangnya 1,000mg

  • ambil mineral magnesium

  • ambil bawang putih

  • ambil acidophilus dan bakteria baik lain sebelum makan (bakteria baik - probiotik- yang banyak terdapat di dalam yogurt atau persediaan kapsul / tablet yang dijual di farmasi)

  • antara herba yang digunakan selain daripada senna (lihat di atas) ialah cascara sagrada, sliperry elm, marshmellow dan peppermint

Untuk mereka yang mengandung, jangan ambil ubat-ubatan termasuk ubat herba. Ada ubat-ubat herba ini menyebabkan kontraksi (contraction).